Sejak berita kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah mula diketahui umum, rata-rata rakyat meluahkan rasa sedih serta turut mengenang kembali kenangannya bersama Almarhum. Baginda mangkat di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur, pada hari Rabu, kira-kira jam 8.50 pagi pada usia 89 tahun.

Chef Wan Dedah Peribadi Almarhum Paduka Ayahanda Sultan

Mengimbas kembali kenangan bersama baginda, chef selebriti Datuk Redzuawan Ismail atau lebih mesra disapa sebagai Chef Wan turut menceritakan kembali pengalaman beliau sepanjang mengenali Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah dan kerabat di Raja Pahang. Menurut Chef Wan, antara kebaikan baginda yang dikenali ramai adalah Sultan Pahang kelima itu sememangnya suka bersedekah.

Teringin Merasai Air Tangan Chef Wan

Pernah suatu ketika, Almarhum ingin merasai sendiri air tangannya dalam menyediakan mi rebus lalu chef selebriti itu sempat memasak sendiri mi rebus sebagai santapan baginda sehingga menjadi kegemarannya.

Tuanku Sultan Buat Kejutan

Namun begitu, sesuatu yang mengejutkan telah disedari Chef Wan sebaik sahaja pulang ke rumah kerana mendapati di dalam beg perkakasnya terrdapat wang tunai berjumlah RM25,000, sebuah kamera berjenama Canon dan telefon bimbit baharu keluaran Samsung. Berasa curiga dengan barangan tersebut, Chef Wan menghubungi baginda bagi bertanyakan mengenai hal tersebut, barang kali baginda tersalah letak atau sebaliknya.

Namun jawab Tuanku Sultan, baginda sendiri meletakkannya di dalam beg tersebut sebagai hadiah buatnya. Terharu dengan pemberian tersebut, menurut Chef Wan perkara seumpama itu adalah pertama kali berlaku dalam sejarah hidupnya apatah lagi diberi hadiah sebegitu banyak demi menyediakan sajian mi rebusnya.