Sejak zaman sekolah lagi, penulis memang minat dengan lagu-lagu nyanyian beliau lagi-lagi kalau berkaraoke. Namun siapa sangka, di sebalik populariti yang dibina pada era 1980an ini, Ibnor Riza mengakui melalui jalan yang cukup berliku sebelum dikenali ramai.

Ibnor yang berasal dari Batu Kikir, Negeri Sembilan ini mengimbas kembali detik itu, kata Ibnor, dia pernah menjadi gelandangan sebaik sahaja tiba di Kuala Lumpur sekitar tahun 1978 kerana tiada tempat yang hendak di tuju.

“Sebelum bergelar penyanyi, saya menjadi gelandangan kerana susah mahu mendapat pekerjaan ketika itu. Bermacam-macam pekerjaan yang saya minta tetapi tidak diterima.

“Bila hidup bersama gelandangan lain, baru saya sedar bukan senang untuk hidup di kota raya ini. Dari situ saya belajar untuk menghargai orang susah, mengenang jasa orang yang pernah menolong dan berusaha gigih untuk mencapai impian.

“Memang tidak mudah tapi saya nekad untuk mengubah hidup kerana keluarga yang miskin di kampung.

Konsert Amal Bersama Bintang Legenda 80-an

Ibnor muncul dengan album debut, Meneka Dalam Kesamaran pada tahun 1987 dan lagu yang turut menjadi judul album ini juga telah menjadi hits sekaligus berjaya menaikkan nama Ibnor yang ketika itu baru bertapak.

Seperti yang dilaporkan oleh Utusan, kini Ibnor bekerjasama dengan Persatuan Kebajikan Cahaya Qasih Malaysia (PKCQM) dalam menganjurkan Konsert Amal Bersama Bintang Legenda 80-an. Konsert yang bakal dijayakan pada 19 dan 20 April ini di Istana Budaya melibatkan Ibnor sendiri bersama rakan-rakan seperti Datuk Nash, Shidee, Datuk Nassier Wahab, Azizul Khamis, Datuk Malek Ridzuan, Zur Eda, Rohana Jalil, Ramlah Ram, Salwa, Azlina Aziz dan Norshila Amin.