Pasti ramai yang terhibur dengan video muzik yang menampilkan pelakon popular Aliff Aziz dan Mira Filzah ini. Aksi lincah mereka menari ala-ala bollywood ini cukup menarik dan mencuit hati.

Video dimuat naik oleh Media Hiburan di Instagram ini menyaksikan Aliff tidak berbaju menari di bawah hujan lebat bersama beberapa orang penari yang memeriahkan lagi suasana bollywood.

Terdahulu video tersebut telah dimuat naik oleh pelakon dan penulis skrip drama Meh Sandar Pada Aku yang lebih dikenali sebagai Marr Mohamad.

Aliff dan Mira kini menjadi sebutan orang ramai menerusi drama tersebut adaptasi novel karya Aifa Batrisya yang menemui penonton di slot Dahlia TV3. Drama bersiri 13 episod ini diarahkan oleh Emi Suffian yang ditayangkan pada pukul 6.58 petang, setiap hari Jumaat hingga Ahad.